Saturday 1 October 2011

| Artikel Lama : Aaron Aziz dan Keluarga |

Menempuh gerbang perkahwinan pada usia yang muda, pelakon kacak berasal dari Singapura ini bahagia dengan isteri dan dua anak yang comel.BAGI Aaron, perkahwinan adalah satu hubungan suci yang harus dijaga bukan sahaja kerana cinta tetapi kerana ia daripada Allah s.w.t.
Mencuri masa emas lelaki popular bernama Aaron Aziz bersama isteri, Diyana Halik untuk ditemubual, sebenarnya satu perjalanan yang agak panjang. Ada sahaja urusan mereka yang harus didahulukan menyebabkan niat untuk mengabadikan kisah mereka tertangguh berbulan lamanya.Nampak sahaja mereka santai dan tampil bersedia di depan umum tatkala ada majlis yang harus disertai tetapi di sebalik kemunculan itu, Aaron dan Diyana sebenarnya mengejar masa.
Jadual mereka padat. Sekejap di Kuala Lumpur dan sekejap di Singapura. Berulang-alik dalam perjalanan yang meletihkan membuatkan Aaron nekad. Bukan meninggalkan Singapura jauh di hati tetapi keputusan berhijrah dan menetap di Kuala Lumpur (KL), Malaysia lebih memudahkan urusan karier dan keluarga. Singapura tetap menjadi tanah tumpah darah mereka kerana di sana ada bisnes perkongsian yang sedang beroperasi.
"Alhamdulillah, sekarang kami sangat lega sebab dah tak perlu berulang-alik lagi. Sebelum ini, banyak masa yang tercicir dalam perjalanan. Sibuk macam- mana pun, anak-anak dah tak susah nak berjumpa dengan bapa mereka (Aaron)," jelas Diyana ramah.
Sokong Aaron: "Sekarang kepala saya tidak berat memikirkan isteri dan anak-anak. Kalau orang tua saya mahu menjenguk kami, ia bukan lagi satu masalah."
Melihat Aaron dan Diyana dari pandangan mata kasar, tentu tidak terbayang oleh semua tentang kesukaran yang pernah mereka alami.
Percaya atau tidak, jalan berliku juga pernah diratapi Aaron dan Diyana demi bergelar seorang anak seni.

"Apa yang saya capai sekarang ini, bukanlah sesuatu yang mudah. Masa mula-mula hendak jadi pelakon, ramai yang kata keputusan saya tidak tepat kerana di Singapura, lakonan hanyalah kerja sampingan. Tetapi saya mahu serius.

"Bila saya kahwin, ada yang persoalkan kenapa kahwin awal. Saya jawab rezeki di tangan Tuhan. Saya mula ke KL pada tahun 2004. Walaupun dapat watak sampingan, saya tak kisah. Baru hendak menapak, isteri saya mengandung anak pertama.

"Saya pilih untuk beri tumpuan kepada anak, lama juga saya balik ke Singapura. Buat kerja di sana, kemudian dapat tawaran lagi untuk datang ke KL. Semakin rancak dapat tawaran, isteri mengandung lagi anak kedua sekali gus memberi isyarat bahawa komitmen dan tanggungjawab saya semakin bertambah. Sehari selepas isteri melahirkan anak kedua, saya kena berada di KL kerana ada penggambaran yang harus diteruskan. Masa itulah hidup saya sengsara.

"Walaupun Diyana kata dia faham dan boleh tanggung rindu seorang diri di sana, saya pula yang lebih teruk kerana menanggung rindu terhadap tiga orang iaitu isteri dan dua anak yang masih kecil," jelas Aaron sedikit terharu mengenangkan kisah lama.
Hari ini, banyak sebab untuk Aaron bersyukur dengan keluarga dan karier yang dimiliki. Kini juga, masa yang terbaik untuk Aaron membasuh segala kepayahan dan kesukaran dulu yang pernah mereka lalui.

"Terlanjur bercakap tentang hidup. Saya lahir daripada keluarga yang tidak sempurna. Ibu bapa saya bercerai. Sebab itulah, kalau boleh saya mahu berikan yang terbaik untuk anak-anak, isteri serta orang tua saya.

"Sebab itulah juga, apabila ramai yang bertanyakan tidak tergodakah saya dengan wanita-wanita cantik yang didampingi di lokasi, prinsip saya mudah. Tubuh saya ini kalau boleh dibahagi-bahagikan, sudah ada bahagian yang menjadi milik keluarga saya. Kena ingat, ini rezeki daripada Tuhan. Kalau tidak tahu mensyukuri nikmat-Nya sekelip mata sahaja rezeki ini boleh ditarik," luah Aaron sedikit berhujah.

Beralih satu topik ke satu topik lain, kediaman baru di Sunway Damansara terkeluar dari bibir. Tinggal di kawasan kediaman itu menjadikan lokasi pusat membeli-belah One Utama, tempat tuju Diyana untuk mendapatkan apa juga keperluan.

Cuma satu sahaja, sampai hari ini, wanita yang dianugerahkan sepasang cahaya mata itu tidak pernah memandu dan tidak dibenarkan memandu.

"Saya sedang belajar memandu tetapi rasanya Aaron tak akan benarkan saya memandu bersama anak-anak. Alasan dia, saya jenis yang kelam-kabut dan agak cuai. Saya jarang tengok kiri dan kanan," getus Diyana separuh tergelak.

Membetulkan kenyataan isterinya, kata Aaron, sekiranya Diyana lulus ujian memandu, sebuah kereta menjadi tawaran dan selama sebulan isterinya hanya layak memandu dari rumah ke One Utama sahaja. Lulus ujian kedua di mata Aaron barulah Diyana bebas berkereta ke sana dan ke sini.

Lamaran dari pentas anugerah

Kemanisan detik lamaran si dia kadang-kadang boleh mengubah kesuraman di wajah tatkala dirundung duka. Apatah lagi lamaran itu menjadi detik pemula berputiknya sebuah perancangan untuk membina mahligai cinta.

Setiap wanita pasti mengimpikan detik lamaran penuh romantis dan walaupun dianggap paling klise, lamaran bertemankan cahaya lilin di meja makan malam eksklusif tetap menjadi visual pertama yang terlintas saat cerita lamaran muncul mengisi perbualan.

Bagi pasangan Aaron dan Diyana, lamaran yang memecahkan simpanan kata di gunung jiwa mereka enam tahun lalu adalah satu sejarah yang tidak ternilai mahalnya. Hati wanita muda, Diyana yang ketika itu baru berusia 21 tahun kembang berbunga, kemudian kuncup mendakap senyuman.

Tanpa disangka, niat sekadar menemani Aaron ke majlis berkenaan menjadi saat paling bermakna dalam hidup Diyana.Ungkapan keramat dari mulut Aaron yang disaksikan seluruh tamu dan penonton di rumah dalam acara yang disiarkan secara langsung itu ternyata satu anugerah.

"Dia lamar saya dari pentas sebuah majlis anugerah di Singapura. Ketika itu, dia diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Paling Popular dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

"Saya masih ingat lagi isi ucapan Aaron yang berbunyi 'saya dedikasikan anugerah ini untuk bakal isteri saya'. Saya sangat terkesan, itu ucapan luar biasa dan juga satu lamaran untuk saya kerana kami tidak pernah berbincang soal kahwin secara serius walaupun ada impian ke arah itu," luah Diyana mengagumi suaminya.

Demi Diyana yang ingin dijadikan suri hidupnya serta tarikh perkahwinan yang sudah dirancang, Aaron tidak ragu-ragu menolak satu tawaran filem dari KL, Bicara Hati yang menamakan dirinya sebagai pelakon utama.

"Itu tawaran pertama (filem) dari Malaysia yang datang kepada Aaron. Dia buktikan kepada saya bahawa dia bukan jenis yang terlalu mengejar karier dan populariti. Katanya 'kalau kita nak bina masjid dan buat benda baik, pasti banyak lagi benda baik yang akan datang kepada kita'. Sebab itu, saya tak perlu ragu dengan dia dan sekarang kata-katanya semakin menampakkan bukti," ujar Diyana yang tidak peduli dengan banyak sangkaan ramai bahawa bersuamikan insan popular dan tampan menyesakkan nafasnya sebagai isteri.

Meminta Aaron menterjemahkan erti tempoh enam tahun perkahwinan yang telah dilalui, bapa kepada Danish Anaqi (5 tahun) dan Dwi Ariana (3 tahun) itu mula bermain kata.

"Enam tahun ini masih terlalu awal, saya masih dalam proses menelaah. Ada masanya, saya terfikir sejenak sebelum menghidupkan enjin untuk balik ke rumah. Saya tenangkan diri dan tidak pulang dalam kondisi yang tertekan dan penat kerana ada anak-anak dan isteri menanti saya.

"Hidup ini juga tidak ubah seperti pentas lakonan besar kerana di luar layar, saya juga perlu membawa pelbagai karakter dan watak, sebagai suami, bapa, anak dan masyarakat yang baik. Saya tak sanggup ada yang kecewa. Pernah dulu saya balik ke rumah dan kerana penat, saya memarahi anak saya yang cuba bermanja. Saya tak mahu perkara itu berulang," getus Aaron dalam visi dan emosi yang sarat menyimpan seribu pengertian.
credit to  rumahselebriti.blogspot.com

Regard & lots love 
Iswa 
Admin Team Aaronators Fc

4 comments:

  1. thanx admin :) i'm the 1st one hehe

    ReplyDelete
  2. first time masuk blog ni..lepas nampak info kat FB..tq admin adakan blog nih...yang ari tu nyer web guna lagi ke?

    ReplyDelete
  3. yang hari tu punye blum ble guna blk..nnt diberitahu ok..skang follow blog ni dulu ok..
    thank
    admin team :)

    ReplyDelete
  4. Kisah liku2 kehidupan abg aaron sngt menyentuh ht...we love abg aaronaziz..:))

    ReplyDelete